
MAJLIS SAMBUTAN SEMPENA MAULUD NABI SALLALLAHU ALAIHI WASALLAM, PEJABAT PEGUAM NEGARA TAHUN 1448 HIJRAH / 2026 MASEHI
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 31 Ogos 2026 – Pejabat Peguam Negara pada hari ini telah mengadakan Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bagi tahun 1448 Hijrah / 2026 Masehi bertempat di Dewan Jubli Emas, Bangunan Undang-Undang dan Mahkamah-Mahkamah, Jalan Raja Isteri Pengiran Anak Saleha.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Yang Berhormat Datin Seri Paduka Dayang Hajah Nor Hashimah binti Haji Muhammed Taib, Peguam Negara. Majlis turut dihadiri oleh Yang Mulia Dayang Hajah Zuraini binti Haji Sharbawi, Peguamcara Negara, pegawai-pegawai dan kakitangan Pejabat Peguam Negara.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh Yang Mulia Awang Mohammad Nazmi Azwan bin Awang, Penasihat Undang-Undang di Pejabat Peguam Negara dan diikuti dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh Qari jemputan, Yang Mulia Awang Mohammad Izz’ Mozzat Ei Jaz bin Sharif, Pelajar Tahun 10 di Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Majlis diteruskan dengan ceramah khas sempena tema yang bertajuk “Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam Suluh Aqidah” yang disampaikan oleh Yang Mulia Ustaz Isham bin Awang Ismail, Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Dakwah Islamiah. Antara intipati ceramah tersebut adalah untuk membangunkan kerohanian iaitu kepentingan dalam memelihara aqidah dan sunnah sebagai panduan utama dalam kehidupan kita, terutama sekali di dalam budaya organisasi. Antara fokus utama adalah membaca Al-Quran setiap pagi bagi memulakan hari dengan keberkatan, mengamalkan adab dalam menegur, serta mengawal kemarahan demi memelihara keharmonian sesama warga kerja. Ceramah juga turut menekankan amalan berzikir sebagai benteng ketenangan dan kekuatan dalam menghadapi cabaran kerja seharian.
Majlis diserikan lagi dengan persembahan Dikir Marhaban dari pegawai-pegawai dan kakitangan Pejabat Peguam Negara.
Aktiviti keagamaan ini dijalankan setiap tahun bagi memperingati hari kelahiranan junjungan besar kita Nabi Muhammad Sallahu alaihi Wassalam. Acara kali ini dikelolakan bersama oleh Jawatankuasa keugamaan Pejabat Peguam Negara dan Bahagian Komunikasi dan Strategi. Antara objektif majlis seumpama ini diadakan adalah untuk mengeratkan hubungan silaturrahim di kalangan pegawai-pegawai dan kakitangan Pejabat ini.









